ARAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar di Istana Arau, di sini sebentar tadi.
Istiadat pelantikan dan angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail kira-kira pukul 4 petang tadi.
Abu Bakar merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan serta Pembangunan Luar Bandar negeri dilantik menggalas tanggungjawab itu selepas Mohd. Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan secara sukarela atas faktor kesihatan pada Khamis lalu.
Abu Bakar merupakan Pengerusi Bersatu negeri dan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.
Terdahulu, media melaporkan terdapat spekulasi pertukaran Menteri Besar apabila lapan ADUN daripada Pas dan Bersatu didakwa menghantar akuan berkanun (SD) kepada pihak istana susulan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ADUN Sanglang itu.
Pas kemudian membuat ketetapan bahawa keahlian tiga ADUN Perlis sebagai ahli parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.
Susulan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan memutuskan kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan dan akan memaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain meminta pilihan raya semula diadakan.
