
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memberi amaran keras melarang orang ramai menebus subsidi Budi Madani Ron95 (BUDI95) menggunakan MyKad milik individu lain.
Dalam kenyataannya, kementerian berkata, perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan.
“Awas! Orang ramai diingatkan bahawa menebus penggunaan BUDI95 menggunakan MyKad milik orang lain adalah satu kesalahan.
“Sekiranya anda menghadapi masalah MyKad atau kehilangan MyKad, sila laporkan segera kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” kata kenyataan itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, JPN menegaskan, memiliki atau menggunakan MyKad milik orang lain untuk apa-apa tujuan termasuk penebusan bantuan kerajaan adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Katanya, individu yang menemui MyKad hendaklah segera menyerahkannya kepada JPN atau balai polis berhampiran.






