KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan Kerajaan MADANI hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.
Di dalam negara, beliau berkata, ekonomi terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif.
“Bahkan, di peringkat antarabangsa, hubungan antara kerajaan, pelbagai negara, kumpulan pemimpin, membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat.
“Daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui hantaran di Facebook hari ini.
Anwar menambah, dengan sokongan padu keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia, beliau percaya Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan.
Ujarnya lagi, Kerajaan Madani akan berkhidmat dengan amanah, membina negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua.
