KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Johor mengesahkan keadaan terkawal susulan kejadian gegaran gempa bumi lemah yang dikesan berlaku di Bukit Kepong, Pagoh Muar pada pukul 8.55 pagi tadi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, gempa bumi berkenaan bermagnitud 3.4 dengan kedalaman 10 kilometer.
Setakat ini, beliau memberitahu, tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
Katanya lagi, tiada sebarang ancaman tsunami kepada negeri Johor dan keadaan adalah terkawal.
“Kerajaan Negeri Johor sentiasa mengambil serius soal keselamatan rakyat.
“Pemantauan rapi sedang dijalankan bersama agensi berkaitan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa agar rakyat sentiasa mendapat maklumat yang sahih dan tepat.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya menasihatkan orang ramai agar kekal bertenang, menjauhi struktur yang tidak kukuh, sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya.
