LONDON: Beberapa jam selepas Manchester City memintas Arsenal di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL), The Gunners memberi respons dengan menewaskan Brighton 2-1.
Kemenangan tersebut memastikan Arsenal kembali melonjak ke tangga teratas EPL melalui jaringan Martin Odegaard pada minit ke-15 babak separuh masa pertama sebelum jaringan sendiri Brighton.
Brighton mengurangkan defisit menerusi jaringan gol Diego Gomez pada minit ke-64 untuk menghidupkan semula harapan The Seagulls tetapi skuad kendalian Mikel Arteta menunjukkan semangat juang tinggi melakar kemenangan di laman sendiri.
Apa yang menarik, Arsenal kini mendapat manfaat daripada empat gol sendiri dalam tiga perlawanan terakhir di Stadium Emirates.
Penyerang Brighton, Georginio Rutter, menjadi individu yang tidak bernasib baik kali ini apabila tertampan bola masuk ke gawang sendiri hasil sepakan sudut Declan Rice pada awal babak kedua.
Arsenal kini memiliki kelebihan dua mata berbanding Manchester City di puncak EPL.
