
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki meminta ibu bapa dan pelajar tidak menolak tawaran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hanya disebabkan kekangan kewangan.
Beliau berkata, MARA bersedia membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan termasuk melalui Bantuan Khas BUDI MARA.
“Tolong jangan tolak tawaran MRSM hanya kerana faktor kemiskinan. Saya sudah minta pengurusan MARA dan MRSM agar bantu mereka yang susah.
“Bantuan Khas BUDI MARA juga ada disediakan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
BUDI MARA yang juga Bantuan Pendidikan B40 MARA ialah program di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang memberi bantuan penuh persekolahan kepada pelajar daripada keluarga B40.
Program tersebut memastikan peluang pendidikan berkualiti di MRSM dapat dinikmati secara saksama.







