
KUALA LUMPUR: Selangor FC (SFC) mudah menjinakkan Melaka FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, semalam sekali gus melonjak ke tangga ketiga Liga Super.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Christophe Gamel bermula garang dengan jaringan seawal minit kedua hasil rembatan menarik dilakukan pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh.
Alvin Fortes tidak menunggu lama meledak gol kedua tuan rumah melalui rembatan di luar kotak penalti pada minit ke-10 untuk mengukuhkan kedudukan Red Giants.
Pada minit-13, Chrigor Moraes tidak mensia-siakan hantaran lintang Al-Rawabdeh merobek gawang penjaga gol Melaka FC, Badelic Gamba Florencio Jr.
Kejayaan mengutip tiga mata penuh itu menyaksikan skuad SFC mengumpul 25 mata, bersama dua lagi pasukan iaitu Kuching City FC dan Kuala Lumpur City FC (KL FC).
Begitupun, SFC mengumpul lebih jaringan berbanding KL City untuk merampas kedudukan ketiga manakala Kuching City kekal di posisi kedua dengan kelebihan empat gol.







