ARAU: Menteri Besar Perlis yang baharu, Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji beliau sebanyak RM3,000 sebulan berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah membantu meringankan beban kewangan negeri dan rakyat.
Beliau berkata, pemotongan itu turut melibatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang bakal dilantik dengan gaji masing-masing dipotong sebanyak RM1,500 sebulan.
Menurut Abu Bakar, keputusan tersebut dibuat secara sukarela sebagai tanda komitmen kepimpinan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat serta memastikan pengurusan kewangan negeri berada pada tahap lebih stabil.
“Kita kena memberi khidmat kepada rakyat dan negeri. Disebabkan itu saya dengan rela hati bersetuju dengan pemotongan gaji ini,” katanya selepas sesi clock-in hari pertama di Pejabat Menteri Besar Perlis, di sini, hari ini.
Pada Ahad lalu, Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis Kesembilan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.
Pelantikan beliau dibuat susulan krisis politik negeri apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Perlis menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, selepas menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan terdahulu.
Abu Bakar menegaskan amanah yang diberikan kepadanya merupakan tanggungjawab besar dan akan digalas sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negeri.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap peranan Setiausaha Kerajaan Negeri serta barisan penjawat awam dalam membantu membentuk pentadbiran yang lebih berkesan.
“Saya berikrar akan memastikan setiap amanah yang diberikan dengan perkenan Raja Perlis ini dapat dilaksanakan dan direalisasikan demi memartabatkan serta menaikkan imej negeri Perlis,” katanya.
