
GEORGE TOWN: Seorang warga emas maut selepas keretanya terbabas ke tapak kerja pemasangan kabel elektrik yang ditutup sebelum tertusuk besi di Jalan Thean Teik, Ayer Itam, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi, mangsa, Lim Soon Teik, 67 yang menetap di Paya Terubong, mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios dipandu mangsa dipercayai memasuki laluan yang ditutup bagi kerja pemasangan kabel elektrik menyebabkan kenderaan tersebut terperosok ke dalam lubang di tapak berkenaan.
Akibat rempuhan itu, sebatang besi menusuk dari bahagian bawah kenderaan sebelum menembusi hingga ke bumbung kereta mangsa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Lee Swee Sake mengesahkan kematian mangsa dan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.37 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong diketuai Komander Operasi, Zurizan Mohd. Yusof, sebelum mangsa dikeluarkan dari kenderaan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada pukul 11.05 pagi.







