
KUALA LUMPUR: Kemelut politik yang melanda Perlis disifatkan sebagai kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam mengurus dan menyelaras kepimpinan gabungan itu.
Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Muhyiddin sepatutnya mengambil tindakan segera sebaik sahaja gejala ketidakstabilan politik mula dikesan di Perlis, namun mendakwa perkara itu dibiarkan berlarutan selama beberapa bulan tanpa penyelesaian tuntas.
“Kenapa tidak diadakan mesyuarat PN yang khusus bagi membincangkan situasi di Perlis sedangkan masalah ini telah berlarutan sekian lama,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Wan Saiful berkata, kegagalan tersebut memberi kesan besar kepada PN sehingga mencetuskan pandangan daripada beberapa pihak supaya Pas meninggalkan gabungan itu dan menghidupkan semula kerjasama Muafakat Nasional.
Beliau mendakwa sehingga kini Muhyiddin masih belum memanggil sebarang mesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan, sekali gus menimbulkan persepsi bahawa kepimpinan tertinggi PN tidak mempedulikan perkembangan yang berlaku di negeri itu.
Mengulas isu pencalonan Menteri Besar Perlis, Wan Saiful mempersoalkan tindakan parti komponen yang menghantar cadangan berasingan tanpa perbincangan bersama di peringkat gabungan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan kelemahan dalam koordinasi dan kepimpinan PN.
Beliau turut mendakwa kelemahan kepimpinan Muhyiddin sudah disedari sejak tahun lalu, malah Pas dikatakan pernah mengemukakan surat kepada pengerusi PN itu pada Disember 2024 yang mengandungi cadangan pembaikan penting terhadap tadbir urus gabungan.
Wan Saiful berpandangan cadangan supaya Pas meninggalkan PN bukanlah langkah terbaik.
Sebaliknya, beliau mencadangkan Pas mengambil alih jawatan Pengerusi PN bagi melaksanakan pembaharuan yang diperlukan.
Beliau turut menyeru parti komponen lain dalam PN termasuk Gerakan menerima kepimpinan Pas dengan hati terbuka, sambil menegaskan Pas bukan sebuah parti yang cetek pengalaman dan memahami realiti politik negara, termasuk kebimbangan parti bukan Melayu.
Terdahulu, Muhyiddin menafikan dakwaan mengarahkan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli, sambil menegaskan pencalonan Abu Bakar Hamzah dibuat selepas menerima titah daripada Istana Perlis.
Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu semalam, menggantikan Shukri yang meletakkan jawatan dengan alasan kesihatan.







