KUALA LUMPUR: Kes letupan yang dipercayai berpunca daripada peranti letupan buatan sendiri (IED) di Desa Palma, Nilai pada 22 Disember lalu tidak mempunyai sebarang unsur ekstremis atau kaitan dengan mana-mana kumpulan atau organisasi tertentu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berkemungkinan besar merupakan insiden terpencil dan tidak berkait dengan mana-mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
“Setakat ini, siasatan awal tidak mengenal pasti sebarang elemen ekstremis atau hubungan dengan mana-mana kumpulan.
“Namun, siasatan lanjut masih diteruskan secara menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.
Kumar berkata, bahan yang dirampas di lokasi kejadian disahkan mempunyai unsur letupan dan siasatan kini menumpukan kepada tujuan penyimpanan bahan berkenaan, kemungkinan sasaran serta sama ada wujud penglibatan pihak lain.
Katanya, latar belakang suspek turut disiasat, namun polis masih belum dapat merakam percakapan lelaki berusia 62 tahun itu kerana suspek kini menerima rawatan di hospital.
“Suspek masih ditahan di hospital dan pihak polis menunggu laporan perubatan bagi menentukan sama ada dia berada dalam keadaan sesuai untuk memberi keterangan.
“Suspek direman sehingga 3 Januari depan bagi membantu siasatan,” ujarnya
Beliau menambah, polis memohon masa dan ruang untuk melengkapkan siasatan kerana sebarang kenyataan awal yang dibuat secara tergesa-gesa boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang dijalankan.
Terdahulu, suspek bersembunyi di kawasan hutan berhampiran Batang Benar, Nilai, sebelum ditahan dalam keadaan lemah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan suspek mengalami kecederaan melecur pada muka, tangan dan kaki dipercayai akibat letupan tersebut.
Suspek kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan ditahan selepas orang awam yang memasuki kawasan hutan ternampak kelibatnya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958.
