
KUALA LUMPUR : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan semua pihak supaya menumpukan sepenuhnya kepada kerja dan pembangunan yang nyata bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara serta kehidupan mereka lebih selesa dan terjamin.
Baginda bertitah, sudah tiba masanya pihak yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab, khususnya ahli politik, menghentikan polemik politik dan memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
“Beta ingin berpesan, cukup-cukuplah bercakap pasal politik. Fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsungnya pilihan raya umum,” titah baginda dalam Perutusan Sultan Selangor sempena Tahun Baharu 2026.
Sultan Sharafuddin turut bertitah segala perancangan dan tindakan perlu berteraskan matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri, selain dilaksanakan dengan niat yang tulus serta usaha yang bersungguh-sungguh.
Dalam perutusan sama, baginda bertitah mahu isu banjir yang disifatkan telah berlarutan terlalu lama dan perlu ditangani secara menyeluruh dengan sasaran jelas iaitu mencapai keadaan ‘zero flood’.
“Carilah kepakaran terbaik, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Gunakan ilmu, teknologi dan pengalaman.
“Jangan lagi berlindung di sebalik alasan kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan.
“Beta maklum, kita tidak mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi.
“Namun beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Semoga tahun baharu ini membawa sinar harapan, ketenangan hidup dan kesejahteraan yang berpanjangan buat semua.
“Jadikanlah tahun baharu ini sebagai titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, lebih berakhlak, dan lebih bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri. Semoga Allah memberkati negeri ini dan seluruh rakyat beta,” titah baginda.






