
ALOR SETAR : Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berpandangan isu berhubung penggunaan gelaran ‘Dr.’ oleh beliau kini tidak lagi menjadi polemik.
Menurutnya, perkara itu dianggap selesai selepas Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengemukakan penjelasan rasmi mengenainya.
“Saya percaya MMC telah pun menjelaskan perkara ini,” katanya selepas lawatan kerja ke Kompleks Belia dan Sukan Kedah, di sini hari ini.
“Fokus utama saya kini adalah kepada Kementerian Belia dan Sukan bagi memastikan aspirasi kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna untuk pembangunan sukan dan belia kita,” katanya.
MMC pada 24 Disember lalu menjelaskan graduan perubatan boleh menggunakan gelaran ‘doktor’ bagi mencerminkan kelayakan akademik walaupun mereka tidak berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan badan berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Mohammed Taufiq berkata fokusnya kini untuk kembali memberi sepenuh perhatian kepada tanggungjawab utama sebagai menteri.
“Sekarang adalah masa untuk kita bergerak ke hadapan dan melaksanakan kerja. Saya memohon ruang dan masa yang diperlukan supaya kita dapat terus maju serta memastikan pembangunan belia dan perlindungan sukan terus diperkukuhkan,” katanya.







