
Penduduk Kota Warisan semakin kecewa apabila aduan mereka kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai gelanggan futsal yang rosak tidak diendahkan. Sudah bertahun lamanya komuniti berharap agar pihak berkuasa tempatan mengambil langkah segera untuk membaik pulih kawasan tersebut. Namun, penantian hanya berakhir dengan kekecewaan, memaksa penduduk untuk menggunakan tenaga dan wang mereka sendiri bagi memulihkan gelanggan yang kian usang.

Dengan cukai yang semakin meningkat setiap tahun, penduduk tertanya-tanya: di manakah pulangan kepada mereka yang membayar cukai ini? Cukai yang tinggi sepatutnya menjamin kualiti perkhidmatan yang setimpal, namun realitinya amat jauh berbeza. Adakah ini benar-benar tanggungjawab Majlis Perbandaran Sepang, atau sekadar melepaskan batuk di tangga?
Komuniti setempat yang sering menggunakan gelanggan futsal itu untuk aktiviti sukan dan riadah kini terpaksa memikul beban yang sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak berkuasa. Sungguh menyedihkan apabila kemudahan asas seperti ini diabaikan, sedangkan ia penting bagi kesejahteraan masyarakat. Lebih parah lagi, penduduk terpaksa mengumpul dana sendiri bagi memastikan gelanggan tersebut kembali boleh digunakan. Tidak cukup dengan itu, tenaga dan masa juga diluangkan untuk membaiki kerosakan yang diabaikan oleh pihak berwajib.
Soalannya, apakah tugas sebenar Majlis Perbandaran Sepang? Jika cukai yang dikutip tidak digunakan untuk kesejahteraan penduduk, maka di mana ia dibelanjakan? Kekecewaan penduduk Kota Warisan jelas menggambarkan perasaan mereka terhadap pihak berkuasa tempatan yang dilihat tidak memainkan peranan seperti yang diharapkan.
Lebih membingungkan lagi, di manakah hilangnya Ahli Parlimen Sepang dan YB Dengkil? Sepatutnya mereka berada di barisan hadapan untuk menyuarakan kebimbangan rakyat dan memastikan masalah ini diselesaikan dengan segera. Namun, kehadiran mereka tidak dirasai, seolah-olah mereka telah melupakan tanggungjawab untuk bersama dengan komuniti yang mereka wakili. Penduduk kini tertanya-tanya, adakah mereka akan terus diabaikan oleh wakil rakyat yang sepatutnya membela nasib mereka?
Tindakan penduduk Kota Warisan membaik pulih gelanggan futsal secara sendiri ini bukan sahaja menunjukkan betapa seriusnya masalah yang dihadapi, tetapi juga mencerminkan kekecewaan yang mendalam terhadap pihak berwajib. Adakah ini situasi yang harus dibiarkan berlarutan, atau wujud harapan untuk perubahan yang lebih baik?
Majlis Perbandaran Sepang, Ahli Parlimen Sepang, dan YB Dengkil perlu segera tampil memberikan penjelasan serta tindakan yang konkrit. Penduduk Kota Warisan berhak mendapat perhatian dan layanan yang adil, lebih-lebih lagi apabila mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai. Sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa mengambil serius masalah yang berlarutan ini sebelum kekecewaan rakyat berubah menjadi sesuatu yang lebih serius.