KUALA LUMPUR: Terdapat banyak institusi menggunakan istilah muzium tanpa memenuhi standard atau fungsi sebenar muzium.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, satu akta khusus bagi mengawal penggunaan istilah berkenaan akan digubal oleh Kementerian Perpaduan melalui jabatan berkenaan.
Beliau berkata, penggunaan istilah salah yang tidak dikawal boleh mengelirukan orang awam serta mencemarkan imej institusi muzium yang sebenar.
“Kami mendapati banyak institusi menggunakan nama ‘muzium’, sedangkan tidak memenuhi kriteria sebuah muzium sebenar. Ada yang hanya berfungsi seperti gudang atau ruang pameran biasa. Akta ini akan memastikan hanya institusi yang memenuhi standard layak digelar muzium.
“Bagi menangani isu ini, kerajaan merangka Akta Muzium yang akan menetapkan kriteria jelas dan sistem penarafan untuk institusi yang ingin menggunakan nama muzium terutamanya dalam sektor swasta dan persendirian,” katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian Seminar Muzium Antarabangsa Malaysia 2025 yang disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, di sini, hari ini.
Kamarul Baharin berkata, akta tersebut juga akan memperkenalkan penubuhan Majlis Muzium, sebuah badan penasihat rasmi yang bertanggungjawab menetapkan standard serta menilai kelayakan sesebuah institusi untuk diklasifikasikan sebagai muzium.
“Kita mahu mengelakkan wujudnya muzium yang tidak sah, yang mungkin membawa kandungan bercanggah dengan dasar negara atau tiada nilai pendidikan dan warisan.
“Penarafan dan pengiktirafan rasmi penting untuk menjamin kualiti serta integriti institusi muzium di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Aaron berkata, Akta Muzium tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen November ini.
“Sekarang ini, muzium dan kementerian giat menyiapkan draf akta berkaitan. Kita berharap ia akan dapat lulus untuk dibawa ke Kabinet seterusnya ke Parlimen,” katanya.
