
JOHOR BAHRU: Abang kepada Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, masih trauma selepas menyaksikan adiknya diserang lima anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.
Ibu mereka, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata anak keduanya daripada tiga beradik yang berusia 12 tahun itu cuba menghalau anjing berkenaan ketika adiknya diserang kira-kira pukul 7 pagi.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan emosi anaknya terganggu sehingga beberapa kali menangis apabila teringatkan insiden berkenaan.
“Bila saya telefon tanya abang okey tak, kakaknya kata abang menangis. Mungkin apabila dia hendak pejam mata pun, dia teringat kejadian itu.
“Saya di sini, dia di sana (Batu Pahat). Hendak peluk pun tak boleh,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khaled di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Nur Wahyuni berkata, Nur Haira mengalami kecederaan di kepala dan pipi selain luka pada hampir seluruh badan akibat serangan berkenaan.
Katanya, beberapa luka di bahagian belakang badan mangsa sudah dijahit selepas menjalani pembedahan pertama, manakala doktor masih memantau keadaannya sebelum prosedur seterusnya dilakukan.
Mengimbas kejadian, Nur Wahyuni berkata, dia bersama suaminya, Mohamad Hamizi Hamdan, 37, yang bekerja sebagai pekerja penyelenggaraan, dalam perjalanan dari Batu Pahat ke bandar raya ini untuk berniaga sebelum menerima panggilan memaklumkan anak mereka diserang anjing.
“Kami keluar rumah pukul 6.50 pagi dan menerima panggilan pada pukul 7.20 pagi sebelum berpatah balik.
“Saya cukup sedih dengan kejadian ini, malah ia berlaku pada hari lahir saya,” katanya.
Mohd Fared berkata, kerajaan negeri mengarahkan operasi besar-besaran bagi memburu dan menangkap lima anjing liar yang menyerang Nur Haira.
Katanya, haiwan terbabit perlu ditangkap dan diperiksa bagi memastikan ia bebas daripada jangkitan rabies.
“Pihak hospital kini turut bimbang sama ada anjing yang menyerang kanak-kanak terbabit membawa penyakit rabies atau sebaliknya,” katanya.
Ujarnya, operasi berkenaan membabitkan Pejabat Daerah Batu Pahat dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan polis.
Mohd Fared berkata, sebelum kejadian itu, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) bersama DVS sudah menjalankan operasi pada 12, 26 dan 30 Ogos lalu, dengan 22 anjing liar ditangkap di kawasan berkenaan.




