
KUALA LUMPUR: Potensi debu gunung berapi daripada letusan Anak Krakatau, Indonesia, untuk sampai ke Malaysia ketika ini adalah rendah, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin semasa serta pemantauan pergerakan debu gunung berapi, sebarannya ketika ini lebih tertumpu di sekitar Selat Sunda dan kawasan berdekatan di Indonesia.
Namun, katanya, perubahan arah serta kelajuan angin dan kemungkinan berlaku letusan susulan boleh mempengaruhi pergerakan debu berkenaan ke Malaysia.
“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini menggunakan data satelit dan analisis keadaan atmosfera.
“Maklumat daripada Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) global juga membolehkan sebarang potensi pergerakan debu ini ke ruang udara Malaysia dikenal pasti dan dimaklumkan kepada rakyat dengan segera,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan letusan berterusan Anak Krakatau sejak Jumaat lalu menyebabkan abu vulkanik tersebar dan mengakibatkan enam lapangan terbang menggantung operasi penerbangan.
Gangguan itu turut menjejaskan penerbangan domestik dan antarabangsa, termasuk laluan yang menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.
Mohd Hisham berkata ancaman utama adalah terhadap operasi penerbangan dalam dan luar negara.
Katanya, sebarang aktiviti letusan gunung berapi dipantau oleh VAAC di bawah seliaan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Sekiranya maklumat yang diterima berpotensi memberi kesan kepada ruang udara Malaysia, MetMalaysia akan mengeluarkan amaran atau nasihat ancaman debu gunung berapi kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), pengendali syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang,” katanya.
Mohd Hisham turut menjelaskan keadaan jarak penglihatan rendah ketika ini, khususnya di Sarawak dan sebahagian barat Semenanjung, berpunca daripada jerebu rentas sempadan dan bukan disebabkan debu gunung berapi Anak Krakatau






