
PUTRAJAYA: Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Berhad.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, menerusi kerjasama tersebut, pihaknya menawarkan diskaun istimewa kepada ahli-ahli koperasi yang menunaikan umrah dengan syarikat itu.
Beliau berkata, Andalusia turut menawarkan pakej umrah percuma kepada seorang individu bagi setiap 25 ahli koperasi yang mendaftar dalam satu resit dan tarikh penerbangan sama.
Katanya, ia juga sekali gus dapat menghindari kes penipuan pelancongan, umrah dan haji dalam kalangan penjawat awam kerana Andalusia merupakan syarikat kukuh serta dipercayai.

“Melalui kerjasama ini kita dapat memberi mereka jaminan daripada pihak koperasi dengan mendahulukan bayaran untuk ahli mereka menunaikan umrah.
“Pada masa sama, Andalusia ingin memberi banyak tawaran apabila tiba masanya mengikut musim. Mereka ini ramai ahli maka ada tawaran yang kita boleh berikan mengikut kesesuaian pada waktu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian kerjasama tersebut di sini.
Turut hadir Lembaga Pengarah B2B Andalusia, Yazid Mohamed dan Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Jabatan Pertanian Berhad, Azreen Basir.
Sementara itu, Azreen pula berkata, kerjasama tersebut memberi manfaat kepada 1,500 ahli koperasi termasuk ahli keluarga mereka untuk menunaikan umrah.
“Selain itu, kerjasama ini bukan hanya melibatkan pakej umrah sahaja, ahli juga berpeluang untuk melancong dengan harga istimewa melalui pakej-pakej lain yang disediakan pihak Andalusia,” katanya.