
KUALA SELANGOR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya dijadikan model kerjasama antara estet dan kerajaan dalam membangunkan perumahan dan kesejahteraan pekerja estet.
Beliau berkata projek PRR yang dibangunkan menerusi kerjasama Berjaya Corporation Berhad menyelesaikan isu perumahan yang membelenggu pekerja estet sejak 27 tahun lepas.
“Projek ini mengambil masa agak panjang untuk dijayakan sehingga Nga Kor Ming (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) berjaya berunding dengan Tan Sri Vincent Tan (pemilik tanah) yang bersetuju menyerahkan sebahagian tanah untuk projek ini.
“Kor Ming ambil inisiatif runding dengan pihak estet, majlis perbandaran, kerajaan negeri dan bawa kepada Jemaah Menteri sebelum kita putuskan beri peruntukan bagi tujuaan pembangunan PRR tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya, pada 15 Februari lalu.
PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya melibatkan pembinaan rumah teres berkeluasan 1,200 kaki persegi dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air di atas tanah seluas 8.09 hektar milik Berjaya Corporation Berhad di Ladang Sungai Tinggi oleh PRIMA Corporation Malaysia yang dilantik sebagai agensi pelaksana projek.
Projek bernilai RM75 juta yang disasarkan siap dalam tempoh dua tahun dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk secara keseluruhan daripada 245 peneroka estet getah di lima estet di kawasan Bestari Jaya iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak untuk memiliki kediaman sendiri.
Projek ini dijangka siap dalam tempoh selama 24 bulan dengan kos seunit rumah dianggarkan RM300,000 dan akan dijual pada harga RM45,000 sahaja.
Projek PRR Harmoni Madani Bestari Jaya ini berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat. Setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan langkan termasuk tiga unit rumah bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Antara fasiliti asas yang disediakan di kawasan perumahan tersebut adalah seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti dan taman permainan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Anwar meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyegerakan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) bagi mengelakkan pertambahan kos sekiranya tertangguh terlalu lama.
“Terima kasih MPKS (Majlis Perbandaran Kuala Selangor) percepatkan KM, bila semua dah setuju, nak tangguh kenapa. Kalau semuanya mengikut aturan, jangan lengahkan sebab kalau tangguh akan ada kos tambahan. Itu boleh merugikan rakyat dan kerajaan,” katanya.
Perdana Menteri itu juga menekankan mengenai kepentingan rundingan sebagai asas penting dalam menyelesaikan masalah berbangkit berkaitan kesejahteraan rakyat.
Anwar berkata perkara itu dibuktikan boleh berjaya dengan pembangunan PRR Harmoni MADANI melibatkan rundingan banyak pihak yang sebelum ini gagal dilaksanakan kerajaan terdahulu.
“Bila kita runding begitu, kita boleh selesai masalah rakyat, bukannya dengan pergi hasut sana sini, tanya apa kerajaan buat sedangkan masa mereka jadi kerajaan dulu, apa mereka buat untuk selesaikan masalah rakyat ini,” katanya