
SEPANG: Seramai 65 belia dari Kelantan menjadi kumpulan pertama yang terpilih mengerjakan umrah percuma tajaan syarikat Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).
Kesemua mereka menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS), MH0156 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jeddah pada pukul 7 malam ini.
Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, Andalusia berbesar hati dapat menawarkan tajaan pakej umrah percuma kepada 200 anak muda jati Kelantan menerusi program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.
“Hari ini merupakan penerbangan bagi kumpulan pertama melibatkan jemaah umrah terpilih. Kesemuanya dipilih selepas mereka berjaya menunaikan solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin selama 30 hari tanpa gagal.
“Ia melibatkan sebanyak 90 waktu solat iaitu Maghrib, Isyak dan Subuh,” katanya kepada media di KLIA, di sini hari ini.
Jelas Daud, kumpulan pertama terdiri daripada 65 anak muda itu akan dibimbing dan disantuni oleh dua orang mutawif sepanjang tempoh umrah selama 12 hari 10 malam.
Katanya, objektif program berkenaan adalah untuk menarik golongan anak muda yang berasal dari Kelantan bagi mengimarahkan Masjid Imanul Faizin.
“Ia sekali gus dapat menyediakan golongan muda dalam mendalami asas kerohanian serta ilmu fardhu ain sebelum ke Tanah Suci,.
“Andalusia juga akan menyambung program ini ke negeri lain dan mencari sekurang-kurangnya 200 lagi anak muda untuk mengikuti program berkenaan” ujarnya.