
SEPANG: Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) berbesar hati menaja pakej umrah percuma kepada individu orang kurang upaya (OKU) mental, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, yang tular di media sosial ekoran dipukul di Terengganu, baru-baru ini.
Syarikat pengendali haji dan umrah itu turut menaja dua anaknya, termasuk imam masjid yang menjadi individu pengiring kepada OKU berkenaan di Tanah Suci.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej umrah yang ditawarkan itu bernilai kira-kira RM7,000.

Beliau berkata, ia merupakan inisiatif tanggung sosial korporat (CSR) pihaknya yang bertujuan membantu Ahmad Nor bersama keluarga ke Tanah Suci memanjatkan doa serta mencari ketenangan di hadapan Kaabah.
“Itu antara sebab utama mengapa Andalusia menaja beliau ke Tanah Suci, kita mahu kongsi rezeki bersama mereka yang kurang bernasib baik.
“Kami merasakan dia perlu dikelilingi orang tersayang ketika berada di Tanah Suci, jadi tajaan itu turut melibatkan ahli keluarga dan imam masjid yang selalu dikunjunginya,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini malam tadi.
Turut hadir Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.
Selain Ahmad Nor dan keluarga, seramai 130 jemaah turut meneruskan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jeddah bagi menunaikan ibadah umrah.
Ida Riswana berkata, pihaknya juga berharap Ahmad Nor memperoleh ketenangan di Tanah Suci, sekali gus membolehkan OKU berkenaan menjalani kehidupan lebih baik pada masa hadapan.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Andalusia akan terus melaksanakan CSR syarikat, beliau memaklumkan, pihaknya akan terus berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.
“Insya-Allah CSR akan terus dilaksanakan, ia bukan sesuatu yang kami rancang, tetapi melihat kepada peluang yang ada untuk berkongsi rezeki,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nor tidak menyangka mendapat tawaran itu kerana Andalusia, sebuah syarikat ternama bermurah hati menaja pakej umrah itu.
Tambahnya, beliau telah membuat persediaan rapi untuk menunaikan ibadah umrah dalam tempoh dua minggu.
Untuk rekod, pada 17 Januari lalu, Ahmad Nor cedera dipercayai dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar pagi di Padang Astaka Chukai, Kemaman, selepas mangsa yang menunggang motosikal dikatakan terlanggar sebuah gerai jualan menyebabkan makanan tumpah.