
KUALA LUMPUR: Kuota 60,000 tan sebulan bagi minyak masak paket bersubsidi mencukupi bagi menampung penggunaan 80 peratus rakyat memerlukan, selain penjaja di negara ini.
Atas dasar itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata pihak kementerian tidak berhasrat untuk menambah kuota buat masa ini.
“Ketika ini kuota sedia ada mencukupi untuk menampung keperluan berdasarkan golongan yang kita kenal pasti wajar menerima manfaat itu.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, sebanyak 7.9 juta isi rumah mempunyai keperluan sebanyak 4.8 kilogram (kg) minyak masak sebulan.
“Bagi penggunaan 80 peratus rakyat ini, adalah sebanyak 30,300 tan sebulan dan data DOSM 2023 menunjukkan penggunaan bagi peniaga mikro dan penjaja adalah 21,285 tan.
“Jadi kementerian berpandangan jumlah 60,000 tan adalah mencukupi untuk diagihkan kepada 80 peratus isi rumah dan industri mikro dengan setiap pembelian, kita hadkan sebanyak tiga paket minyak masak,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan berapa jumlah subsidi yang dibelanjakan untuk Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (ECOSS) sepanjang 2024.
Kee Chin juga ingin tahu sama ada kementerian bersedia meningkatkan kuota 60,000 tan minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit memandangkan kerap kali ada rungutan masalah kekurangan bekalan.
Menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (BEBAS-Tanjong Karang) mengenai ketirisan dan penyalahgunaan kuasa sehingga mengakibatkan minyak masak paket tidak sampai ke sasaran, Fuziah berkata, kementerian tidak berkompromi, malah sudah mengambil tindakan terhadap 46 syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan tahun lalu.
Beliau berkata, kementerian bertindak menarik semula kuota itu terhadap 30 syarikat dan 16 syarikat lagi digantung kuotanya.
Katanya, selain itu bagi memastikan hanya golongan sasar yang menerima minyak masak paket bersubsidi berkenaan.
ECOSS akan ditambah baik untuk memastikan rantaian pembekalan minyak masak sampai ke peringkat pengguna.
Fuziah berkata, sehingga kini kerajaan belum ada perancangan untuk melaksanakan pembayaran wang secara tunai kepada pengguna yang layak bagi menggantikan subsidi minyak masak, namun kementerian akan melakukan penambahbaikan termasuk melalui kaedah ECOSS.
“Sehingga kini sistem ECOSS yang memantau rekod transaksi jualan minyak masak paket secara digital dari kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan terhenti di peringkat peruncit sahaja.
“Jadi kita sedang membangunkan projek perintis bagi tahun ini untuk memantau rekod itu sehingga kepada pengguna. Kita dalam proses rundingan dengan kerjasama agensi untuk mengenalpasti hanya warga yang layak dapat menggunakan bekalan itu melalui satu bentuk pengenalan diri (ID),” katanya.