
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akur dan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk merujuk lapan persoalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Anwar berkata, isu berkenaan bukan soal kekebalan peribadi, sebaliknya melibatkan prinsip tadbir urus dan perlindungan institusi awam daripada tindakan undang-undang bermotifkan politik.
“Permohonan saya sebelum ini dibuat untuk mempertahankan integriti sistem Perlambagaan dan memastikan kedudukan jawatan tinggi dalam kerajaan tidak terjejas akibat litigasi yang bersifat strategik, bermotifkan politik atau menjejaskan kestabilan institusi negara.
“Tidak, perkara ini bukan sama sekali bertujuan mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada penelitian undang-undang,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Anwar menegaskan, beliau komited kepada prinsip kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman dan demokrasi.
“Proses undang-undang akan berjalan seperti biasa dan saya akan terus melaksanakan amanah serta tanggungjawab tanpa sebarang kompromi,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan perdana menteri untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang.
Persoalan undang-undang itu berkaitan dengan saman yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik Anwar, Muhammed Yusoff Rawther, berhubung dakwaan serangan seksual yang berlaku tujuh tahun lalu.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati tiada satu pun daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan (PP) yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan Anwar menimbulkan sebarang persoalan undang-undang perlembagaan yang nyata, substantif atau boleh diadili, yang memerlukan penentuan oleh Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) PP atau Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.





