
Sekiranya sikap suka berlengah itu diibaratkan seperti mencuri masa, maka sikap ‘malu-malu alang’ terhadap agenda Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pula umpama kecuaian yang tidak sepatutnya berlaku.
Sebaliknya, ASEAN perlu memimpin, bukan sekadar menunggu kerana Malaysia sudah pun berada dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan agenda tersebut.
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 menggarisa satu visi bercita-cita tinggi, iaitu sebuah rantau yang bukan hanya mengejar kemajuan, malah menjadi pusat pertumbuhan Indo-Pasifik.
Namun, aspirasi tinggi itu tidak dapat dilaksanakan sendirian dan ASEAN perlu bergabung sepenuhnya bagi memastikan cita-cita itu tercapai, bukan sekadar anagn-angan.
Seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perjalanan ASEAN adalah ‘kisah kerjasama serantau merentasi sempadan, dialog merentasi perbezaan dan harapan merentasi generasi’.
Maka, untuk muncul sebagai enjin pertumbuhan global, agenda itu bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana ASEAN boleh mempelbagaikan hubungan ekonomi dengan GCC dan China.
Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak tiga hala dan Deklarasi Bersama ASEAN-GCC mengenai Kerjasama Ekonomi menandakan satu langkah ke hadapan yang penting. Kedua-dua dokumen itu meletakkan asas kepada penumpuan yang boleh membentuk semula seni bina perdagangan rantau ini dan sinergi ekonomi sedia ada, melalui tiga landasan yang saling berkaitan: Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, FTA ASEAN-GCC, dan secara tidak langsung, FTA China-GCC.
Setiap perjanjian berlangsung pada kadar berbeza. ACFTA 3.0 hampir selesai, menggabungkan bab generasi baharu mengenai perdagangan digital, persaingan, ekonomi hijau dan kawal selia.
Tetapi, bagi FTA China-GCC yang sudah lama dirundingkan, semakin hampir dimuktamadkan.
FTA ASEAN-GCC pula berada di peringkat kajian dan rundingan akan dilancarkan dalam masa terdekat.
Ia memberi ASEAN dan GCC peluang yang jarang berlaku, iaitu menggunakan struktur dan isi dua rundingan lain dan menghasilkan bentuk perjanjian yang menghubungkan dua inisiatif terdahulu.
Perkambangan ini berupaya memberi banyak kelebihan kepada ASEAN sekali gus menjadikannya nadi utama dalam rangka kerja perdagangan baharu.
Apa yang sering terlepas pandang ini bukan usaha dua hala terasing, sebaliknya membentuk struktur tersusun menghubungkan Asia Tenggara, GCC dan China, iaitu tiga blok ekonomi paling dinamik di dunia.
Kerjasama ini memberi kepercayaan lebih tinggi kepada sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, selain ia juga memberikan kepastian lebih besar kepada para pelabur dan menjadikan ASEAN sebagai pusat dalam struktur perdagangan global.
Logik ekonomi sentiasa menarik dan angka-angka yang dipersembahkan juga meyakinkan.
GCC ialah rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN pada 2022 dengan perdagangan berjumlah AS$130.7 bilion dan diunjurkan berkembang 30 peratus pada setiap tahun.
Perdagangan ASEAN-China melepasi AS$722 bilion pada 2022, menjadikan China rakan dagangan terbesar ASEAN sejak 14 tahun lalu.
Bagi mewujudkan hubungan yang kukuh seperti itu, mestilah diikuti dengan komitmen yang besar dalam sektor pertumbuhan utama seperti kewangan Islam, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui yang menawarkan faedah bersama dan dividen jangka panjang.
Pengenalan elemen itu dalam FTA mampu merintis pembaharuan daripada perjanjian perdagangan konvensional dan mewujudkan perkongsian lebih inovatif, selain kerjasama dalam isu mata wang, pembayaran rentas sempadan dan pertalian dana kekayaan negara boleh mengukuhkan lagi ketahanan kewangan.
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, telah pun mendahului. Kita mendesak untuk membuat kesimpulan awal ACFTA 3.0, menyokong garis masa yang jelas untuk rundingan FTA ASEAN-GCC, sambil memajukan pembentukan mekanisme kekal yang akan menyelaraskan pelbagai landasan perdagangan secara strategik.
Selain itu, penubuhan majlis perniagaan serantau boleh memastikan penjajaran sektor swasta, membolehkan perniagaan mendapat manfaat daripada topografi yang berkembang ini.
Biarpun ada pemimpin GCC tidak menghadiri sidang kemuncak yang lalu, GCC tetap menyampaikan keupayaannya yang mantap dan mencukupi dengan menekankan kesungguhan institusi, selain kehadiran Perdana Menteri China, Li Qiang menunjukkan isyarat jelas komitmen Beijing.
Jika sekeping gambar boleh menggambar seribu perkataan, maka kemunculan pemimpin ASEAN bersama pemimpin GCC mencipta imej serta memori yang menakjubkan.
Namun, ia perlu disusuli dengan rundingan teliti dan komitmen menyeluruh, barulah penglibatan ini dapat memacu ASEAN untuk melangkah lebih jauh.
Perdagangan tiga pihak yang menghubungkan ASEAN, GCC dan China bukan sekadar aliran perdagangan, sebaliknya ia mempertaruhkan strategik demi kelangsungan serantau yang mantap, berasaskan order dan peluang.
‘Bola’ sudah pun berada dalam gelanggang ASEAN dan Malaysia sebagai pengerusi perlu segera merealisasikan semua yang dirundingkan.
Datuk Prof. Dr Mohd faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.




