
LANGKAWI: Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan sahabat baiknya yang juga bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra menyaksikan beberapa perbincangan dilakukan termasuk peranan pemimpin itu sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri berkata, perbincangan tersebut merangkumi isu-isu kritikal serantau yang memerlukan perhatian segera.
“Antara topik utama yang dibincangkan adalah usaha melonjakkan ekonomi serantau, perkembangan teknologi baharu, inisiatif damai di Selatan Thailand dan penyelesaian krisis di Myanmar.
“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki oleh Thaksin di rantau ini membolehkannya memainkan peranan penting dalam membuka peluang baharu bagi Malaysia dan ASEAN untuk menangani cabaran-cabaran ini dengan yakin serta berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dan Thaksin turut bertukar pandangan mengenai langkah memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Thailand.
Katanya, perkara itu selaras dengan visi dan persefahaman yang dikongsikan bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Terdahulu, Anwar menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hana Kuah, di sini.
Ketibaan Anwar pada kira-kira 1.20 tengah hari disambut Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; Pegawai Agama Daerah Langkawi, Syeikh Lokman Ishak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi Ahmad Fuad Abd Ghani.
Anwar bersama kira-kira 1,500 jemaah, seterusnya mendengar khutbah bertajuk ‘Pendidikan Islam Nadi Ummah Sejahtera’ disampaikan Mohd Dzaher Saad.
Kandungan khutbah itu antara lain menekankan menuntut ilmu dan mengajarkannya sebagai satu kewajipan, malah ia memerlukan usaha yang gigih, semangat kental, kesabaran tinggi, tempoh masa panjang dan dana.
Solat Jumaat diimamkan Mohd Sya’bani Awang. Selepas solat, jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri.