
KUALA LUMPUR: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil langkah segera dengan membatalkan lesen pengendali sebuah syarikat lori yang terlibat dalam kemalangan tragis melibatkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu.
Insiden tersebut meragut nyawa seorang bayi, menimbulkan kesedihan dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, APAD menegaskan lesen pengendali milik LDT Metal Trading, kini ditarik balik.
Syarikat berkenaan dilarang sama sekali daripada mengendalikan atau menyediakan sebarang perkhidmatan pengangkutan menggunakan kenderaan yang berdaftar di bawah lesen tersebut.
“Tindakan ini diambil sebagai langkah pencegahan dan memastikan keselamatan awam terjamin.
“APAD memandang serius insiden kemalangan sebuah lori muatan barangan lusuh membabitkan empat kenderaan lain yang mengorbankan seorang bayi dan mencederakan tujuh yang lain. Hasil siasatan, APAD mendapati bahawa LDT Metal Trading gagal dalam memastikan pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) pada kenderaan perdagangan yang dilesenkan dan tidak mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
“Sehubungan itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan mengikut Seksyen 62 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), maka APAD dengan ini membatalkan lesen pengendali LDT Metal Trading berkuat kuasa 2 Oktober,” menurut kenyataan itu.
Insiden rempuhan sebuah lori kira-kira jam 10.50 pagi sabtu lalu disyaki disebabkan masalah brek menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 12 bulan maut, manakala tujuh individu cedera.
Sementara pemandu lori berusia 42 tahun mengaku melompat keluar dari kenderaan dipandunya sebelum nahas tragik terbabit.
Kemalangan itu membabitkan sebuah lori tiga tan membawa barangan lusuh, kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR), sebuah kereta jenis Honda City dan Proton X70.
Dalam pada itu, APAD mengingatkan semua pengendali berlesen untuk sentiasa mematuhi syarat lesen yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian pembatalan lesen pengendali.
“APAD bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kesalahan pemanduan kenderaan pengangkutan awam darat secara berbahaya yang boleh mengakibatkan kemalangan dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“APAD sentiasa komited untuk mewujudkan ekosistem pengangkutan awam darat yang holistik, cekap, efisien, selamat dan berdaya saing selaras dengan nilai teras Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan dan Ihsan,” katanya.






