
KUALA TERENGGANU: Hujan lebat berterusan sejak awal pagi hari ini menyebabkan beberapa kawasan di bandar raya Kuala Terengganu dilanda banjir kilat sekali gus menjejaskan pergerakan trafik di beberapa laluan utama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, limpahan air ke atas jalan raya memaksa pihak berkuasa menutup beberapa laluan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Katanya, antara jalan terjejas ialah Jalan Sultan Omar, Jalan Kamaruddin, Jalan Sultan Ismail menghala ke Bulatan Ladang serta Jalan Kamaruddin menghala ke Pengadang Akar.
“Anggota polis telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi memantau keadaan semasa dan membantu melancarkan aliran trafik,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai lebih berwaspada ketika memandu, mematuhi papan tanda amaran serta menangguhkan perjalanan ke kawasan bandar sekiranya tiada urusan penting sehingga keadaan kembali pulih.







