
KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas bersama anak lelakinya ditemukan maut dalam kebakaran yang berlaku di sebuah unit pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dato’ Senu, Sentul, di sini pagi ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 7.18 pagi.
Menurut kenyataan berkenaan, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 58 tahun dan ibunya yang berumur 82 tahun, masing-masing ditemukan di dalam tandas unit kediaman terbabit.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Kebakaran berkenaan mengakibatkan kira-kira 40 peratus kemusnahan pada unit pangsapuri tersebut.
Operasi memadam dan mengawal kebakaran dilaksanakan menggunakan enam aliran hos daripada pam jentera Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta Gombak Selatan.
Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.27 pagi, manakala punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.







