
MARANG : Tekanan supaya projek-projek besar dilaksanakan tanpa mematuhi peraturan, disertai unsur penyelewengan dan rasuah, dilaporkan menjadi punca utama krisis politik di Perlis.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, menyatakan wujud tekanan berkaitan projek yang tidak mengikut peraturan, yang menyebabkan Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, enggan terlibat dalam perbuatan salah.
Beliau menegaskan, keengganan Mohd. Shukri mematuhi tekanan tersebut menjadi sebab beliau menghadapi tindakan tidak adil.
“Bukannya berlaku zalim, walaupun pentadbirannya diterima rakyat serta dilihat memerintah dengan adil dan berintegriti,” katanya ketika sidang akhbar, di sini hari ini.
Pergolakan politik di Perlis tercetus apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd. Shukri.
Daripada lapan ADUN itu, tiga mewakili Pas manakala selebihnya adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mereka didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) dan menyerahkannya kepada pihak Istana Perlis sebelum ini.
Sementara semalam, Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela, dengan alasan faktor kesihatan.







