PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
Najib, 72, didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui akaun di AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
