
PUTRAJAYA : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda RM11.38 bilion atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada pukul 9 malam tadi.
Collin Lawrence membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan rayuan hukuman daripada kedua-dua belah pihak.
Bagaimanapun, beliau memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak, selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd pada 22 Ogos 2028.
Sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu tertuduh boleh dipenjara 40 tahun.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.







