
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak dijangka mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion yang dikenakan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan kesemua 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.
Peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan pada Isnin ini dan menyifatkan berlaku ‘kesilapan besar’ dalam penghakiman yang dibuat Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Katanya, terdapat antara 50 hingga 100 isu yang akan dicabar oleh pihak pembelaan.
“Kami berpendapat, dengan penuh hormat kepada hakim, beliau telah melakukan terlalu banyak kesilapan dalam penghakiman ini,” katanya pada sidang media di lobi Mahkamah Tinggi di sini.
Beliau turut mendakwa hakim menolak semua bantahan pihak pembelaan berkaitan penerimaan keterangan ‘hearsay’ atau dengar cakap sebagai bukti sepanjang perbicaraan.
Katanya, keterangan dengar cakap tidak boleh diterima melainkan termasuk pengecualian di bawah Seksyen 32 Akta Keterangan 1950.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi mendapati Najib bersalah bagi empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Najib dihukum penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan salah guna kuasa dengan hukuman berjalan serentak, yang bermula pada 2028 selepas tamat hukuman enam tahun dalam kes SRC International.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, hakim mengenakan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan serta memerintahkan beliau membayar denda RM11.387 bilion.







