
PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan program percubaan kawal selia atau sandbox bermula 1 Januari depan bagi menilai mekanisme perlindungan kanak-kanak dan keselamatan pengguna dalam ruang digital sebelum diperkenalkan secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan pendekatan itu akan membabitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa platform media sosial yang dikenal pasti.
Katanya, langkah itu membolehkan kerajaan dan penyedia platform menilai keupayaan teknikal sedia ada serta menguji mekanisme kawal selia secara terkawal.
“Sandbox merupakan kerangka ujian kawal selia yang membolehkan pihak berkepentingan menguji pendekatan, mekanisme atau teknologi baharu dalam persekitaran terkawal sebelum pelaksanaan penuh.
“Pendekatan kita bukan semata-mata mengarahkan. Kita mengundang semua platform untuk berada dalam satu ruang, bagi memadankan objektif kerajaan dengan keupayaan platform,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Melalui proses itu, pengawal selia akan menilai keberkesanan, risiko dan implikasi pelaksanaan sesuatu dasar, manakala pihak industri pula diberi ruang menyesuaikan keupayaan teknikal dan operasi mereka selaras dengan keperluan perundangan.
Program percubaan dijangka berlangsung beberapa bulan bagi memastikan langkah diperkenalkan benar-benar berkesan dan sukar dimanipulasi.
Fahmi berkata, Malaysia tidak bercadang mengikuti pendekatan Australia yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun menggunakan media sosial, sebaliknya memilih mekanisme pengesahan umur (age verification) yang dicadangkan pihak platform.
Langkah ini diyakini lebih jelas dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan serta memastikan privasi pengguna dilindungi.
Beliau berkata, pihak Facebook juga bersedia membantu dalam pengesahan umur menggunakan dokumen dikeluarkan kerajaan.
“Idea ini bukan datang daripada saya tetapi daripada Facebook. Kami mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada Dr Raphael Frankel kerana mencadangkan langkah ini,” katanya.
Menurut Fahmi, pelaksanaan sandbox memberi masa dan ruang kepada kerajaan serta platform menilai keberkesanan mekanisme dan menutup kelemahan sistem sebelum diperluaskan kepada orang awam.





