
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menulis surat terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia susulan dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berhubung kesalahan berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Jumaat lalu.
Surat berkenaan, selain dibacakan oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada sidang media di Istana Kehakiman, Putrajaya turut dimuat naik di akaun Facebook bekas Perdana Menteri itu.
Dalam surat tersebut, Najib meluahkan rasa berat hati namun menegaskan perjuangannya bukan kerana dendam sebaliknya berlandaskan prinsip.
Beliau berkata, perjuangan itu diteruskan bukan untuk mengelak tanggungjawab, tetapi demi menegakkan keadilan, integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang.
“Perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya menilai perkara ini dengan tenang dan rasional, demi masa depan institusi negara dan prinsip yang kita junjung bersama,” katanya.
Najib turut menegaskan, tuntutannya hanyalah hak yang diperuntukkan undang-undang dan niatnya tetap sama iaitu menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menyeru rakyat Malaysia kekal tenang, rasional dan berhemah serta tidak terpengaruh dengan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
Pada Jumaat, mahkamah mendapati Najib bersalah bagi 25 pertuduhan iaituempat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA).
Najib berkata, beliau akan terus menuntut hak melalui saluran sah dengan penuh maruah dan kesabaran, walaupun menghadapi jalan sukar serta memerlukan pengorbanan besar, sambil tetap yakin kepada proses kehakiman negara.







