
PUTRAJAYA: Seramai 77 rakyat Malaysia yang terselamat susulan tragedi banjir lumpur di Nepal telah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses repatriasi sebelum kembali ke tanah air.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada mesyuarat Kabinet.
“Menteri Luar memaklumkan bahawa terdapat lagi 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
“Mereka (77 rakyat Malaysia) sudah dibawa ke Kathmandu untuk proses repatriasi untuk kembali ke Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan sumbangan sebanyak AS$1 juta bagi membantu kerja kemanusiaan di Nepal.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar di Nepal.
Maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak Kedutaan Malaysia di Kathmandu.






