
PUTRAJAYA: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini akan diadakan di dalam bangunan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak susulan keadaan jerebu yang membimbangkan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum keadaan jerebu yang membimbangkan di Kuching dan Serian.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan acara yang dirancang di kawasan terbuka tidak dapat diteruskan seperti jadual asal.
“Sambutan kini akan diadakan sepenuhnya di dalam bangunan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan semua pihak yang terlibat,”katanya pada sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Dalam pada itu Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan yang menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos lalu.
Katanya, seramai 100,000 orang hadir memeriahkan sambutan berkenaan, manakala lebih 10,000 lagi menyertai acara sebagai kontinjen dan sebahagian daripada pengisian program.






