
SHAH ALAM: Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, 56, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima barangan berharga berkaitan kerja pengubahsuaian tiga kediamannya pada 2017.
Pertuduhan itu melibatkan dakwaan menerima kos pengubahsuaian berjumlah RM302,499.27 bagi tiga rumah masing-masing di Seksyen 13, Shah Alam; Kota Damansara, Petaling Jaya; dan USJ Heights, Subang Jaya.
Mengikut pertuduhan, Adi Azuan yang didakwa ketika itu sebagai penjawat awam menerima kos berkenaan daripada seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan pada 7 Mac 2017.
Beliau didakwa mengetahui bahawa pemberian tersebut mempunyai kaitan dengan urusan yang dijalankannya menggunakan syarikat kontraktor berkenaan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di ketiga-tiga lokasi kediaman berkenaan, menyebabkan Adi Azuan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM70,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
“Memandangkan tertuduh tidak mengaku salah, pihak pendakwaan mengesyorkan jaminan sebanyak RM70,000. Seperti mana mahkamah maklum kes ini adalah non bailable offense,” katanya.
Peguam bela, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin dan Tania Scivetti, bagaimanapun memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM30,000.
Permohonan tersebut antara lain mengambil kira bahawa anak guam mereka tidak lagi berkhidmat sebagai COO TH sejak tahun lalu, selain mempunyai empat anak berusia antara 12 hingga 25 tahun yang masih bersekolah dan menuntut di universiti.
“Kami sertakan laporan perubatan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Seperti dimaklumkan dalam laporan itu, tertuduh seboleh mungkin mengelak perbuatan yang memberi tekanan kepada fizikal dan emosi kerana akan mencetuskan kecederaan myocardial. Selain itu, jumlah jaminan bersifat menghukum.,” katanya.
Sementara itu, Tania memohon supaya anak guamnya dibenarkan melaporkan diri sekali setiap tiga bulan sekiranya syarat tambahan dikenakan, mengambil kira keadaan kesihatan Adi Azuan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudian membenarkan Adi Azuan diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warganegara yang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur.
“Tertuduh dikehendaki melaporkan diri di Pejabat SPRM Putrajaya seperti yang dipohon peguam. Tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu mana-mana saksi pendakwaan,” katanya.
Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula dan pengurusan kes.






