
KOTA BHARU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan memanggil pemain industri filem dan drama termasuk pelakon dalam masa terdekat bagi membincangkan penerapan nilai agama serta kesesuaian kandungan karya dengan norma masyarakat tempatan.
Yang Dipertua YADIM Datuk Dr. Hasan Bahrom berkata sesi berkenaan akan menjadi platform dialog bagi mendapatkan pandangan pemain industri, selain memberi penjelasan mengenai perkara yang wajar diberi perhatian dalam penghasilan karya kreatif.
Beliau berkata sesi itu dijangka berlangsung seawal minggu depan dengan penyertaan pihak berkaitan dalam industri berkenaan.
“Kita telah membuat keputusan untuk berjumpa dengan pemain industri filem dan pelakon untuk berbincang dan berdialog supaya apa yang hendak kita laksanakan itu mengikut tatanilai orang Melayu serta sesuai dengan masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Program Dakwah Negara Peringkat Kelantan dan Perasmian Bangunan Baharu YADIM di sini hari ini.
Beliau berkata aspek yang akan dibincangkan bukan hanya membabitkan kandungan dan penggunaan bahasa, tetapi turut merangkumi cara sesuatu perkara dipersembahkan menerusi karya layar agar tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan nilai dan kefahaman masyarakat.
Hasan berkata YADIM juga bercadang mengadakan muzakarah bagi memperincikan perkara berkenaan sebelum melihat kemungkinan menyediakan satu garis panduan yang bersesuaian dengan keadaan serta keperluan semasa.
“Semua itu menjurus kepada bagaimana kita memberi satu pandangan dan pemahaman. Kemudian mungkin satu muzakarah supaya orang memahami dan keduanya mungkin garis panduan yang boleh kita buat mengikut keadaan yang tepat dan sesuai dengan masyarakat kita,” katanya. – BERNAMA







