
KUALA LUMPUR: Bekas pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen bagi 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan transaksi hampir RM18 juta.
Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, Fakhrudin didakwa memindahkan wang yang dipercayai hasil aktiviti haram berjumlah RM10.54 juta daripada akaun Ehsan Cares Solution Sdn Bhd bagi tujuan pembayaran pembinaan sebuah rumah banglo di Bandar Kundang, Gombak.
Dia turut didakwa memindahkan RM2.66 juta daripada akaun sama bagi pembayaran kad kredit miliknya selain 10 pertuduhan memindahkan RM4.79 juta ke akaun dua syarikat bagi tujuan pembayaran beberapa kenderaan mewah.
Antara kenderaan yang terlibat termasuk Mercedes-Benz AMG S63, Range Rover SVA, Porsche 911 Carrera S, Porsche 911 Turbo S, Toyota Alphard dan Lexus RX300.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua cawangan bank di Bangsar dan Jalan Sultan Ismail antara 6 Januari 2021 hingga 21 April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Fakhrudin diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, manakala tertuduh diwakili peguam N Sivananthan.
Sebelum ini pada 16 Jun lalu, Fakhrudin turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia Hulu Selangor bagi memperoleh suapan berjumlah RM98.27 juta.
Dia didakwa mengarahkan pemindahan dana milik NGO berkenaan kepada sebuah syarikat pengurusan yang mempunyai kaitan dengannya serta ke akaun bank miliknya sendiri antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.







