
KUALA LUMPUR: Parlimen bakal mempunyai ruang yang lebih luas untuk meneliti serta memberikan syor terhadap calon Pendakwa Raya yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), termasuk membahaskan, mengundi atau mengumumkan keputusan berkaitan secara terbuka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPKP) yang akan diwujudkan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, Parlimen mempunyai kuasa untuk menentukan sendiri mekanisme penelitian calon tanpa campur tangan pihak Eksekutif.
Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan sesetengah Ahli Parlimen bahawa Dewan Rakyat tidak mempunyai peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
Menurutnya, jawatankuasa khas berkenaan boleh meneliti nama-nama yang dikemukakan oleh SPKP, mengemukakan pandangan serta syor mereka sebelum senarai tersebut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“JKPK yang diwujudkan Parlimen boleh membincangkan nama-nama yang disenaraikan SPKP dan memberikan semula pandangannya, sebelum senarai itu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Kita juga menekankan bahawa Parlimen mempunyai prosedurnya sendiri. Jika Parlimen mahu membuat perbahasan dalam Dewan Rakyat, mahu berbincang, itu semua hak Parlimen dan tidak ada masalah.
“Jika Parlimen mahu umumkan keputusan atau membuat pengundian, itu juga hak Parlimen. Eksekutif tidak akan mengajar Parlimen bagaimana nak menjalankan tanggungjawab Parlimen.
“Jadi, untuk mengatakan Parlimen tidak memainkan peranan, itu tidak tepat,” katanya pada taklimat media berkaitan agenda reformasi institusi di Parlimen, hari ini.
Selasa lalu, tujuh Ahli Parlimen PKR menggesa proses penapisan Parlimen yang ketat dan teliti dilaksanakan dalam cadangan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Tambah Azalina, engikut Perlembagaan Persekutuan, Parlimen hanya boleh membuat undang-undang dan tidak ada kuasa untuk membuat lantikan.
Bagaimanapun katanya, di bawah reformasi yang dilaksanakan Kerajaan Madani melalui RUU itu, Parlimen berhak untuk memantau senarai calon Pendakwa Raya yang disyorkan SPKP.
“Cara Parlimen mahu membuat pemantauan, pemeriksaan balas, mahu panggil (calon), itu hak di bawah peraturan Parlimen.
“Jadi, menuduh kerajaan ini tidak beri peluang kepada Parlimen memainkan peranan, itu tidak adil,” katanya.





