
JOHOR BAHRU: Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 bukan sekadar acara tahunan menghimpunkan institusi muzium negara malah menjadi Pentas Jerayawara yang memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian budaya Malaysia kepada masyarakat pelbagai lapisan.
Dengan tema Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah (Museums Uniting a Divided World), festival yang berlangsung di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini menonjolkan peranan muzium sebagai jambatan yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang budaya, bahasa dan warisan sejarah.
Lebih menarik, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan yang menggambarkan kepelbagaian etnik dan tradisi masyarakat Malaysia daripada seni tari Melayu, kebudayaan masyarakat Cina dan India hinggalah warisan unik etnik Sabah serta Sarawak.
Setiap persembahan membawa cerita tersendiri mengenai sejarah, adat resam dan nilai yang diwarisi sejak turun-temurun.

Penolong Kurator Yayasan Warisan Johor, Munira Mastar berkata, salah satu daya tarikan FHMAPK 2026 merupakan Pentas Jerayawara yang menawarkan persembahan muzium-muzium dan agensi-agensi terlibat dalam festival berkenaan.
Beliau berkata, para pengunjung juga dapat menyaksikan persembahan artis-artis, seni tari Melayu, kebudayaan masyarakat Cina, dikir barat, paluan gendang shigu dan pelbagai lagi yang pasti akan menjentik jiwa perpaduan dalam kalangan para pengunjung.
“Selain itu, sebanyak 33 reruai termasuk pempamer dari Indonesia dan Singapura yang pasti akan memberi kelainan kepada para pengunjung untuk menimba ilmu dan merasai pengalaman baharu mengenai kepelbagaian sejarah, adat resam serta nilai yang diwarisi turun-temurun.
“Mereka yang berkunjung ke Pentas Jerayawara terutama para pelajar dapat merasai sendiri pengalaman dalam menterjemah hasil seni dan kreativiti mereka melalui bengkel-bengkel kraf,” katanya.

Munira memberitahu, FHMAPK 2026 turut menjadi platform memperkenalkan khazanah negara kepada generasi muda dalam suasana yang lebih santai dan interaktif.
Katanya, melalui pendekatan jerayawara, pengunjung bukan sahaja melihat artifak dan bahan pameran malah dapat merasai sendiri pengalaman budaya melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan kepada mereka.

Dalam pada itu, seorang pengunjung, Avinash A/L Ragu, 14, memberitahu, dia sangat teruja apabila berpeluang bersama-sama menyertai aktiviti mewarna batik.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya mewarna batik dan mendapati ia sesuatu yang sangat unik dan menarik.
“Pengalaman seperti ini tidak harus dilepaskan kerana dapat menterjemah kreativiti pada kanvas batik berkenaan,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Uda itu.

Bagi penuntut Kolej Universiti Johor Sultan Ibrahim, Nur Adibah Mohd Najib, 20 berkata, FHMAPK 2026 mampu mendekatkan kepelbagaian budaya dan tradisi dari seluruh negara kepada para pengunjung.
“Secara tidak langsung, festival ini dapat memupuk perpaduan terutama dalam kalangan generasi muda malah memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan sesuatu budaya serta tradisi bangsa.
“Saya berharap festival begini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana menjadi platform terbaik dalam memelihara sejarah budaya masyarakat negara ini untuk diperturunkan kepada generasi akan datang,” katanya.






