
SEPANG: Seramai 488 jemaah yang menggunakan perkhidmatan Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. sepanjang musim haji tahun ini memuji kemudahan dan pengurusan syarikat berkenaan, sekali gus dapat menyempurnakan ibadah dengan lancar.
Penolong Pengurus Bahagian Haji Andalusia, Khairul Sani Zamberi berkata, maklum balas positif yang diterima daripada kebanyakan jemaah mencerminkan kelancaran operasi haji hasil pelbagai penambahbaikan yang dilaksanakan di Tanah Suci.
“Antara penambahbaikan yang mendapat pujian ialah kemudahan di Masyair, termasuk tandas lebih selesa dan khemah dilengkapi ‘sofa bed’ bagi meningkatkan keselesaan ketika kemuncak ibadah haji.

“Kebanyakan jemaah berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan Andalusia, Lembaga Tabung Haji dan pihak muassasah, selain penambahbaikan tahun ini memberi impak positif kepada pengalaman mereka di Tanah Suci,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan kumpulan kedua dan terakhir jemaah haji kendalian Andalusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Terdahulu, kumpulan terakhir melibatkan seramai 118 jemaah termasuk dua petugas itu menaiki pesawat Saudia Airlines dari Madinah selamat tiba di tanah air kira-kira 3.50 petang tadi.

Ia merupakan kumpulan kedua jemaah haji Andalusia yang pulang ke ibu negara selepas ketibaan 276 jemaah pada 6 Jun lepas.
Mengulas cabaran mengendalikan operasi haji, Khairul Sani berkata ia berjaya diurus dengan baik melalui pendekatan penerangan kepada jemaah sebagai panduan penambahbaikan bagi musim haji akan datang.
Sementara itu, rata-rata jemaah turut memuji sikap profesional dan pengalaman petugas Andalusia yang disifatkan cekap dan teratur dalam membantu melancarkan urusan mereka sepanjang musim haji tahun ini.

Seorang jemaah, Noorwian Abdul Ghani berpuas hati dengan perkhidmatan petugas Andalusia yang sentiasa menjaga kebajikan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Aktiviti ziarah turut diperkaya dengan perkongsian sejarah Islam yang memberi kefahaman lebih mendalam kepada jemaah.
“Penerangan yang diberikan sepanjang ziarah menjadikan pengalaman ibadah kami lebih bermakna,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Meor Syazali Mohamed Sapawi menyifatkan pengalaman petugas dan lokasi penginapan yang dekat memudahkan urusan jemaah.







