
JOHOR BAHRU: Apabila suara merentas sempadan ritma, bait-bait bahasa dan melodi menyentuh nurani, lahirlah sebuah pentas yang meraikan nilai kemanusiaan sejagat.
Persembahan istimewa Rapsodi Harmoni yang menghimpunkan tokoh seni dan sasterawan daripada pelbagai kaum, budaya serta kepercayaan dalam satu naskhah mengangkat mesej perpaduan, sejarah serta kasih sayang.
Bukan sekadar konsert atau acara seni biasa, Rapsodi Harmoni menawarkan pengalaman yang menghubungkan hati menerusi alunan nasyid, deklamasi sajak, monolog dan lagu-lagu ketuhanan sarat dengan penghayatan kepada para pengunjung.
Pentas istimewa yang merupakan antara aktiviti menarik Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di Padang Akasia, Pusat Beli-belah Angsana di sini itu diserikan oleh tokoh-tokoh ternama tanah air seperti Prof. Datuk Dr. Lim Swee Tin, Dr. Raja Rajeswari Setha Raman dan Muhammad Syahmi Samsuddin yang mempersembahkan deklamasi sajak.

Prof. Datuk Dr. Lim Swee Tin, Dr. Raja Rajeswari Setha Raman dan Muhammad Syahmi Samsuddin masing-masing menjentik jiwa para pengunjung melalui deklamasi sajak bertajuk Dari Pelantar Zaman, Suara Dari Rumah Khazanah serta Nyanyian Kedamaian.
Pelakon, pelawak dan pengarah serba boleh, Mohd Sabri Yunus atau lebih dikenali Sabri Yunus pula ‘ditemani’ gesekan biola pengasas bersama kumpulan Kopratasa, Sani Sudin yang mendayu membelai jiwa sehingga mengundang khalayak menghayati setiap bait persembahan monolog bertajuk Menunggu Kata Dari Tuhan.
Kumpulan nasyid terkemuka tanah air, Hijjaz menghiburkan pengunjung melalui karya-karya popular seperti Sumayyah, Ritma Kehidupan, Mesra Desa, Hukum Tuhan dan Fatamorgana manakala Papa Rock, Datuk Ramli Sarip memukau audiens melalui suara serak basah di atas pentas beratapkan awan malam.

Tokoh-tokoh seni berkenaan yang diiringi pemuzik Yayasan Warisan Johor membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan yang merapatkan perbezaan sekali gus menyuburkan semangat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Sasterawan Prof. Datuk Dr. Lim Swee berkata, sajak bertajuk Dari Pelantar Zaman itu mencerminkan peranan muzium pada masyarakat.
“Kadang-kadang orang tidak mengetahui muzium ini mempunyai peranan yang besar, sejarah diceritakan semula dengan artifak-artifak, catatan-catatan dan bahan-bahan bukti.
“Ini merupakan satu rakaman sejarah dari zaman ke zaman yang saya fikir sangat penting. Pada waktu sama, muzium juga bertanggungjawab menarik masyarakat mendekatinya,” katanya.

Justeru, beliau menjelaskan, muzium harus sentiasa mempertingkatkan keupayaan dalam menyumbang, memberi dan menyalur maklumat-maklumat penting.
Beliau menambah, dari satu generasi ke satu generasi sudah pasti ada hubungan yang terputus, pemahaman tentang peradaban lalu, sejarah, pemerintahan, adab, budaya, ekonomi, sosial termasuk politik diceritakan semula oleh muzium.
“Muzium mempunyai sumbangan yang besar ke arah pemahaman kepada semangat patriotisme rakyat dan yang penting sekali memupuk rasa kemanusiaan serta keinsanan. Jadi, seluruh ini adalah sumbangan yang dapat disampaikan oleh muzium sebagai satu entiti.
“Banyak orang melihat muzium sebagai objek yang kaku tetapi bagi saya ia meriah dengan pemupukan, maklumat, interaksi dengan pengunjung, jika pandai mengambil aspek-aspek yang positif mencari ilmu dan menggerakkan semangat kenegaraan setiap rakyat khususnya generasi muda,” ujarnya lagi.

Penerima S.E.A Write Award 2000 itu memberitahu, semua perkara berkenaan beliau rangkum dalam persembahan melalui deklamasi sajak berkenaan dan menegaskan, muzium menyumbang ke arah kemanusiaan yang sangat besar.
“Saya berharap akan tumbuh kepada generasi baharu akan bertunas dan kepada pengunjung-pengunjung umum mula menyedari bahawa muzium mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Raja Rajeswari Setha Raman berkata, deklamasi sajak yang disampaikan mengimbau kembali bagaimana setiap naskhah di rumah sejarah memiliki helai-helai kisah yang menarik tentang sejarah peradaban bangsa.

“Dalam sajak ini, saya menekankan peri penting kita melestarikan warisan kebangsaan sebab kita dapat melihat suara rindu masa lalu, masa kini dan nafas masa hadapan.
“Saya gunakan istilah nafas masa hadapan kerana kelestarian warisan kebangsaaan adalah satu nafas bagi sesebuah negara.
“Kalau kita ingin maju dalam apa bidang dan sektor wajib mengekalkan keperibadian kebangsaan kita dan lebih dihormati di mata dunia apabila berada dalam acuan pertiwi kerana memiliki identiti tersendiri yang akan menjadi pengukur mata kepada warga dunia,” katanya.

Sebagai contoh, beliau menambah, setiap negeri menampilkan keunikan melalui pameran FHMAPK 2026 yang wajar diteruskan dan dilestarikan sampai bila-bila khususnya untuk generasi akan datang.
“Selain itu, festival ini sangat menarik kerana dapat menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di negara ini malah dapat menimba ilmu tentang sesuatu yang berlaku pada masa silam, masa kini dan harapan untuk masa depan,” katanya.






