
JOHOR BAHRU: Topeng mampu mengubah wajah tetapi apa yang lebih mengagumkan ialah keupayaan objek penutup wajah berkenaan menyimpan sejarah.
Di sebalik setiap ukiran, warna dan ekspresi yang terpahat, ia tersirat dengan pelbagai kisah tentang kepercayaan, kuasa, ritual, seni serta identiti masyarakat merentasi ribuan tahun.
Tidak hairanlah topeng terus dianggap antara artifak budaya paling misteri dan mempesonakan dalam sejarah peradaban manusia.
Keunikan itu menjadi nadi kepada reruai pameran Jabatan Muzium Malaysia yang bertajuk Topeng: Wajah Yang Tersembunyi pada Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 yang mengajak pengunjung menyelami makna sebenar di sebalik setiap topeng sekali gus membuka ruang untuk memahami kepelbagaian budaya masyarakat dunia.

Kurator Kanan Jabatan Muzium Malaysia (Bahagian Pameran dan Pengembangan), Mohd Noorzairi Salleh berkata, pameran berkenaan mengetengahkan pelbagai jenis topeng yang digunakan dalam upacara keagamaan, ritual masyarakat, persembahan kebudayaan, perayaan serta kehidupan harian.
Beliau menjelaskan, setiap satu topeng yang terdapat di pameran berkenaan memiliki naratif cerita dan falsafah tersendiri.
“Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja berpeluang melihat kehalusan seni ukiran dan reka bentuk topeng daripada pelbagai budaya malah dapat memahami bagaimana sesuatu topeng berfungsi sebagai simbol kuasa, perlindungan, penghormatan kepada nenek moyang serta penghubung antara alam nyata dan spiritual.
“Setiap topeng dipamerkan memperlihatkan kreativiti luar biasa masyarakat silam dalam menggabungkan unsur seni, mitos, kepercayaan dan nilai kehidupan sehingga menghasilkan karya yang bukan sekadar indah dipandang tetapi sarat dengan makna,” katanya.

Melalui pendekatan yang informatif dan interaktif, Mohd Noorzairi menambah, pameran Topeng: Wajah Yang Tersembunyi memberi peluang kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk menghargai kepelbagaian warisan budaya dunia.
Selain itu, katanya, para pengunjung dapat memahami di sebalik setiap wajah yang tersembunyi, tersimpan sejarah panjang membentuk identiti sesebuah masyarakat.

“Pameran ini sekali gus membuktikan bahawa topeng bukan sekadar objek hiasan atau alat persembahan sebaliknya merupakan khazanah budaya yang merakam perjalanan tamadun manusia.
“Ia menghubungkan masa lalu dengan masa kini dan menjadi saksi kepada kekayaan warisan yang wajar terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.





