
JOHOR BAHRU: Karya muzik memiliki nilai tersendiri apabila ada sekadar untuk didengari dan terdapat lagu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup.
Bagi pencinta genre muzik rock di Ipoh, Perak setiap petikan gitar, kaset lama dan poster konsert menyimpan memori yang tidak pernah luput ditelan masa.
Kenangan itulah diangkat Lembaga Muzium Negeri Perak melalui Pameran Warung Rock Ipoh di reruai pameran Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 menghidupkan semula sejarah muzik tempatan sambil merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu melalui warisan budaya yang dikongsi bersama.
Penolong Kurator Lembaga Muzium Negeri Perak, Raja Zainurainy Raja Ali berkata, Pameran Warung Rock Ipoh amat bertepatan dengan tema Hari Muzium Antarabangsa iaitu Muzium Menyatukan Dunia yang Terpisah.
Beliau memberitahu, muzik rock merupakan medium yang merentasi perbezaan umur, latar belakang sosial, pekerjaan dan generasi.

“Melalui pameran ini, muzium berperanan sebagai ruang yang menghimpunkan pelbagai komuniti untuk berkongsi memori, pengalaman dan penghargaan terhadap warisan muzik tempatan.
“Koleksi dan kisah yang dipamerkan bukan sekadar menceritakan sejarah muzik rock di Ipoh malah menjadi jambatan yang menghubungkan generasi terdahulu dengan generasi muda.
“Dalam konteks ini, muzium berfungsi sebagai platform yang menyatukan masyarakat melalui warisan budaya yang dikongsi bersama,” ujarnya.

Raja Zainurainy menjelaskan, Pameran Warung Rock Ipoh mengetengahkan perkembangan budaya muzik rock di Ipoh dari era 1980-an hingga kini.
Beliau berkata, pameran tersebut memaparkan bagaimana muzik rock bukan sahaja menjadi medium hiburan, malah berperanan sebagai wadah perpaduan dan identiti komuniti setempat.
“Pameran dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Segmen Pengenalan yang menerangkan sejarah dan perkembangan muzik rock di Ipoh melalui tujuh poster maklumat.
“Segmen Pameran Koleksi pula mempamerkan 10 koleksi berkaitan budaya dan sejarah rock tempatan.

Bagi Segmen Warung Interaktif pula, kita menyediakan aktiviti pengunjung seperti kuiz dan permainan berasaskan lagu-lagu rock tempatan bagi memberi pengalaman yang lebih santai dan menarik,” katanya.
Beliau menambah, objektif pameran adalah untuk mendokumentasikan sejarah muzik rock di Ipoh, menghargai sumbangan penggiat seni muzik tempatan serta memperkenalkan warisan muzik ini kepada generasi muda.
Katanya, Pameran Warung Rock Ipoh membuktikan bahawa muzik rock merupakan sebahagian daripada warisan budaya yang membentuk identiti dan memori masyarakat Ipoh, serta wajar dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.
“Antara yang menarik termasuk jaket yang pernah digunakan legenda rock terkenal, Datuk Awie pada Konsert Romantika di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor,” katanya.





