
MARANG: Pas menegaskan tidak akan membantu kempen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sebaliknya menggunakan jentera berasingan.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kedua-dua parti mempunyai strategi kempen yang berbeza, walaupun menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) sama bagi PRN 11 Julai depan.
“Kita tetap dengan Pas. Yang parti Bersatu kita tidak tahu strategi mereka.
“Mungkin dia ada strategi sendiri yang nak ambil. Tetapi jentera Pas akan tetap bekerja untuk kita di 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Abdul Hadi berkata kemelut antara Pas dengan Bersatu telah selesai dan pihaknya tetap dengan keputusan untuk membatalkan kerjasama.
Beliau berkata, Pas meletakkan sasaran menjadi blok pembangkang yang berperanan sebagai ejen semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Kita bertanding 11 kerusi. Kita pilih kerusi yang ada keyakinan untuk menang. Yang penting kita mahu Johor diperintah Melayu Islam,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun ini sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala 7 Julai untuk pengundian awal dan 11 Julai ialah hari pengundian.




