
DENGKIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujud arahan menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memasuki kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan hanya memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa sedia ada di tanah rancangan berkenaan.
“Arahan tak ada. Arahan Kerajaan Persekutuan layan projek Persekutuan. Negeri, dia buat kerja negerilah. Apa nak riuh-riuh, buat apa,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil di sini hari ini.
Anwar berkata demikian bagi mengulas dakwaan Onn Hafiz yang mendakwa beliau dihalang daripada memasuki kawasan FELDA.
Sebelum ini, Onn Hafiz mendedahkan dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026.
Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak akan melayan komen pihak luar yang mempunyai agenda tertentu, sebaliknya terus memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas demi manfaat rakyat.
“Saya tidak jelas, tidak layan sangat dengan komen-komen ini. Kita banyak kerja kita,” katanya.




