
DENGKIL: Kerajaan akan melaksanakan projek perumahan penjawat awam dengan kadar sewa lebih rendah bagi menjaga kebajikan golongan berkenaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan lawatan beliau ke beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Perak, Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini mendapati penjawat awam menghadapi masalah serius berkaitan sewa rumah.
“Kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam dengan sewa murah supaya dia dapat sewa dengan kadar yang murah.
“Jadi ia tidak membebankan keluarga. Ini langkah-langkah kita ambil, kita akan segerakan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Pekan Dengkil di sini hari ini.
Anwar berkata, meskipun kerajaan telah menaikkan gaji penjawat awam, isu peningkatan kadar sewa terus menjadi isu.
“Walaupun kita naikkan gaji mereka antara 15 (hingga) maksima 30 peratus, tetapi kadang-kadang kalau di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Seremban, Ipoh, tidak dapat menampung kadar sewa yang meningkat,” katanya.
Beliau berkata, tanah milik kerajaan telah dikenal pasti untuk digunakan bagi pembangunan perumahan berkenaan.
“Sama ada untuk kastam atau polis, sebaik saja ada ruang, kita akan bangunkan perumahan untuk penjawat awam,” katanya.




