
KUALA LUMPUR: Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur air negara sejak dua dekad lalu, sekali gus membantu memastikan keterjaminan bekalan air untuk rakyat dan pembangunan negara terus terpelihara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penubuhan PAAB 20 tahun lalu merupakan langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh industri perkhidmatan air negara menerusi pendekatan yang lebih tersusun, mampan dan berkesan.
Katanya, PAAB diwujudkan bagi membantu membiayai serta membangunkan aset dan infrastruktur air yang diperlukan untuk memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Pendekatan ini membolehkan pembangunan infrastruktur air dilaksanakan secara lebih terancang, manakala operator perkhidmatan air dapat memberi tumpuan kepada aspek operasi dan mutu perkhidmatan.
“Langkah tersebut bukan sekadar perubahan kepada struktur industri perkhidmatan air, tetapi turut mencerminkan pendekatan yang lebih jelas dalam menentukan peranan setiap pihak supaya pembangunan infrastruktur dan penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-20 PAAB, di sini hari ini.
Beliau berkata, kejayaan PAAB sepanjang tempoh tersebut merupakan hasil usaha berterusan, dedikasi dan komitmen tinggi seluruh warga kerja serta rakan strategiknya dalam memperkukuh sektor air negara.
Menurutnya, kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur berdasarkan tempoh kewujudannya, sebaliknya melalui sumbangan dan nilai yang berjaya diwujudkan kepada masyarakat dan negara.
“PAAB mempunyai banyak sebab untuk berbangga kerana sejak penubuhannya, syarikat ini telah menjadi sebahagian daripada usaha negara memperkukuh pembangunan infrastruktur air dan menyediakan kemudahan yang diperlukan bagi memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Fadillah berkata, antara pencapaian penting PAAB ialah pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang memainkan peranan besar dalam memperkukuh bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Katanya, projek berkenaan bukan sahaja mencerminkan keupayaan negara membangunkan kemudahan berskala besar, malah memperkenalkan pendekatan serta teknologi yang lebih inovatif dalam sektor air.
Mengulas cabaran masa depan, beliau berkata, sektor air berdepan pelbagai cabaran baharu termasuk pertumbuhan penduduk, perkembangan ekonomi, perubahan keperluan masyarakat serta kesan perubahan iklim yang semakin ketara.
“Keadaan ini menuntut kita untuk terus memperkukuh sektor air negara supaya kekal mampan, berdaya tahan dan mampu memenuhi keperluan negara dengan baik.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kerajaan akan terus memberi perhatian kepada agenda keterjaminan air sebagai antara keutamaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara dapat diteruskan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan serta seluruh warga kerja PAAB yang telah menyumbang kepada pembangunan organisasi itu sejak penubuhannya.
Katanya, pengalaman, kepakaran dan asas kukuh yang dibina sepanjang 20 tahun lalu perlu terus dimanfaatkan bagi memastikan PAAB kekal menjadi institusi yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara pada masa hadapan.





