
KUALA LUMPUR: Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah terus membuktikan pengaruhnya merentasi generasi apabila tampil menerusi program bersiri baharu, Aku Jamal: Suara Emas Digital yang bukan sekadar mengangkat seni muzik tetapi membawa mesej kesedaran mengenai keselamatan internet kepada masyarakat.
Program 13 episod yang bakal disiarkan menerusi saluran TV2 bermula Julai depan itu menggabungkan elemen muzik, penceritaan dan pendidikan digital.
Lebih menarik, program berkenaan turut menampilkan anak lelaki Jamal iaitu Osama Yamani dan anak saudaranya, Hussain Jamalulhayat bersama barisan artis jemputan lain dalam usaha menyampaikan mesej keselamatan digital secara santai serta mudah difahami.
Jamal melihat projek berkenaan sebagai satu usaha yang mempunyai nilai lebih besar berbanding sekadar hiburan.
“Saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bukan sahaja sebagai persembahan hiburan tetapi menjadi satu kenangan dan khazanah untuk generasi akan datang.
“Program berkenaan dapat direalisasikan dengan sokongan rakan-rakan artis, pemuzik dan pasukan produksi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas rakaman program berkenaan di Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor pada Khamis.

Program tersebut dilaksana menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Aideaz Integrated.
Mengulas mengenai perancangan seni selepas tamat rakaman program itu, penyanyi yang popular dengan rangkaian lagu malar segar itu mengakui masih belum mahu memperlahankan rentak kerjaya bergelara insan seni.
“Selepas tamat rakaman ini, saya akan meneruskan rakaman beberapa lagu baharu dan bersedia untuk merakam sebuah single baharu berjudul Ihtilam,” katanya.
Menyentuh tentang persoalan sama ada beliau sudah memikirkan mengenai persaraan, Jamal berkata, perkara itu ada terlintas di fikiran terutama apabila merasakan prestasi persembahan tidak lagi mencapai standard yang ditetapkan sendiri.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 67 tahun itu menegaskan cinta terhadap muzik masih utuh dan akan terus berkarya selagi diberi kesempatan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib menyifatkan projek Aku Jamal: Suara Emas Digital sebagai satu pencapaian penting buat agensi terbabit.
Katanya, ia kerana buat julung kali, rakaman persembahan secara langsung dijalankan selama 13 hari berturut-turut menggunakan fasiliti Virtual Production milik FINAS.
“Projek ini turut menjadi penanda aras baharu selepas FINAS menaik taraf kemudahan studio dengan teknologi terkini.
“Ini merupakan kolaborasi pertama seumpamanya sejak fasiliti Virtual Production diwujudkan di FINAS,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aideaz Integrated, Norafizah Shiak Abd Rahman berkata, projek berkenaan dirancang sejak Oktober tahun lalu sebelum proses pembangunan kandungan dimulakan awal tahun ini.
Beliau menjelaskan, pelbagai elemen kreatif termasuk animasi dan pembangunan kandungan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan syarikat itu bagi memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat diterjemahkan dengan berkesan kepada penonton.
Dalam pada itu, Mohd Faizal Mat Nor dari Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri MCMC pula menyifatkan penglibatan Jamal sebagai langkah strategik dalam memastikan mesej Kempen Internet Selamat dan Klik Dengan Bijak dapat disampaikan kepada kelompok masyarakat dengan lebih luas.
“Pengaruh besar Jamal dalam kalangan pelbagai lapisan peminat diyakini mampu membantu meningkatkan keberkesanan kempen keselamatan digital yang giat dijalankan,” katanya.







